SEJARAH SEKOLAH

 
Sejarah Sekolah Kebangsaan Brumas bermula di Kalabakan. Pada tahun 1958, seorang wanita yang mempunyai kesedaran mendalam mengenai pentingnya pendidikan telah merayu kepada Mr. Price yang pada masa itu Pegawai Pelajaran Tawau untuk menubuhkan sebuah sekolah. Wanita tersebut ialah Puan Susana Tungcap. Rayuan beliau telah diluluskan. Dengan kelulusan tersebut, pada bulan November 1958 lahirlah sebuah sekolah yang diberi nama Native Voluntary English Schools Kalabakan. Sekolah tersebut telah dirasmikansendiri oleh Mr.Price, manakala Penyelia Sekolah pada masa itu ialah Mr. Rees (Forest  Manager).

Di awal penubuhannya, sekolah tersebut terdiri daripada tiga orang guru iaitu Puan Susana Tungcap (Guru Besar), Puan McHarg dan Puan Quimson. Bilangan murid adalah seramai lebih kurang 100 orang dengan tiga buah bilik darjah. NVES Kalabakan terletak di sebuah kawasan Kem Pembalakan. Syarikat pembalakan pada ketika itu ialah Bombay Burma Timbers Company Ltd.(BBTCL) dan Wallace Bay Sdn. Bhd. Oleh itu, murid-murid NVES merupakan anak pekerja syarikat tersebut. Keadaan ini juga menyebabkan perkembanagan sekolah mengikut arus perkembangan syarikat.
Di antara November 1968 dan awal 1969, Bombay Burma Timber Company Ltd. telah berpindah ke Brantian, NVES turut sama berpindah. Nama sekolah bertukar menjadi Native Voluntary English Schools Brantian. Di Brantian, sekolah tersebut telah dirasmikan oleh mendiang Encik Marcos Otigil. Penyelia Sekolah ialah Encik Ismail Loyok AMN. Semasa di Brantian, pertambahan murid telah meningkat sehingga lebih dari 200 orang. Dengan pertambahan tersebut, bilangan guru juga turut meningkat kepada lapan orang termasuk Guru Besar.







Guru-guru tersebut ialah Encik Baharun Majid, Encik Idris Masaleko, Encik Ambrose Balikau Enturan, Puan Gloria Esporton, Puan Columba Sibaton, Cik Magdalene Periera dan Puan Julia Dawila. Seperti yang dikatakan, perkembangan sekolah adalah mengikut arus perkembangan syarikat. Menjelang tahun 1972, kayu balak di Brantian telah berkurangan. Pihak Syarikat telah merancang akan membuka suatu tempat yang kekal. Tempat yang dimaksudkan ialah Brumas. Brumas adalah nama singkatan dua perkataan Brantian dan Umas-umas. Sekali lagi sekolah terpaksa berpindah. Perpindahan kali ini merupakan perpindahan ke suatu tempat yang kekal sehingga kini.
Syarikat Bombay Burma Timbers Company Ltd. telah bertukar nama menjadi The North Borneo Timbers (NBT). Syarikat bersama-sama sekolah telah berpindah ke Brumas pada bulan November 1972. Sebuah lagi sekolah di Umas-umas telah dicantumkan di Brumas menyebabkan semua guru dan murid berpindah ke Brumas. Di Brumas, nama sekolah telah bertukar menjadi Sekolah Rendah Sukarela Rakyat Brumas. Sekolah ini telah dirasmikan oleh Encik A. Nunshi Mahali,Pegawai Pelajaran Tawau. Turut serta pada masa tersebut ialah Encik Awang Ahmad Wahab dan Encik Sharif Ibrahim Sharif Jaafar.

Sekolah Rendah Sukarela Rakyat Brumas telah berkembang maju. Pertambahan muridnya agak memberangsangkan sehingga awal tahun 1980-an. Bilangan murid yang paling ramai ialah pada tahun 1983 di mana muridnya telah melebihi 600 orang. Pada masa tersebut, NBT sedang berada di zaman kemuncak kemajuannya.

Pada tahun 1977, Sekolah Rendah Sukarela Rakyat Brumas bertukar nama menjadi Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan (Inggeris) Brumas (SRJK(1) ). Kod sekolah : XCA 3010. SRJK(1) Brumas telah berkembang maju selaras dengan aspirasi Dasar Pelajaran Kebangsaan. Nama SRJK(1) Brumas harum sebagai sebuah sekolah Gred B. Tidak keterlaluan jika dikatakan SRJK(1) Brumas merupakan antara sekolah yang terbaik di kawasan pendalaman yang dibiayai oleh kerajaan dan syarikat. Nama SRJK(1) Brumas terus kekal sehingga pada tahun 1984 telah keluar arahan dari Kementerian Pelajaran Malaysia, menyatakan bahawa semua Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan (Inggeris) ditukar nama menjadi SRK. Sejak itu nama baru sekolah ialah Sekolah Rendah Kebangsaan Brumas. Pada masa kini sekolah di bawah pengawasan Jabatan Pelajaran Daerah Tawau. Namun pada hari ini,SRK Brumas, Tawau dikenali sebagai Sekolah Kebangsaan Brumas, Tawau.



Post a Comment

0 Comments